Berikut adalah sabuah artikel mengenai majlis perkahwinan untuk panduan anda:
Tarikh Sibuk Perkahwinan
Memang sejak sekian lama, majlis perkahwinan biasanya akan diadakan pada hari sabtu dan ahad dalam cuti persekolahan. Ini bertujuan untuk memudahkan saudara mara yang datang dari jauh.
Namun, pada ketika ini, terutamanya di kawasan Kuala Lumpur, majlis perkahwinan yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad dalam cuti sekolah, nampaknya bukanlah satu waktu yang paling ideal untuk melangsungkan majlis perkahwinan.
Terdapat beberapa kelemahan pada majlis yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad dalam cuti sekolah. Antaranya ialah:
1) Pemberi perkhidmatan seperti jurugambar, katerer dan jurumekap agak sukar memberikan diskaun pada tarikh ini. Ini kerana, pada tarikh ini, mereka mendapat terlalu banyak permintaan.
2) Adalah teramat sukar untuk mendapat perkhidmatan profesional pada tarikh ini sekiranya anda membuat tempahan kurang dari sebulan dari tarikh berkenaan.
3) Anda mungkin akan dapat seorang juruvideo walau menempah agak lambat, tetapi, biasanya, juruvideo yang baik sudah ditempah jauh lebih awal. Jadi, anda cuma mendapat juruvideo yang kurang berkualiti. Begitu juga keadaannya dengan pemberi khidmat profesional yang lain.
4) Sekiranya berlaku kecemasan seperti jurugambar anda tidak dapat hadir pada majlis anda, adalah teramat sukar untuk mencari jurugambar gantian pada tarikh tersebut.
5) Pemberi perkhidmatan profesional mempunyai jadual yang ketat pada tarikh yang berkenaan. Mereka akan terkejar-kejar dan keletihan.
Misalnya, saya pernah menghadapi keadaan dimana, pengantin terpaksa dimekap pada pukul 2 petang untuk majlis akad nikah yang akan diadakan pada sebelah malamnya. Ini kerana, jurumekap tersebut terpaksa membuat mekap untuk pengantin lain pula di tempat lain.
6) Tetamu jemputan juga biasanya mendapat banyak jemputan pada tarikh tersebut. Mereka mungkin tidak dapat menghadiri majlis anda kerana memenuhi undangan lain kerana kesuntukan masa dan keletihan.
Demikianlah beberapa kelemahan yang telah saya kenalpasti di sepanjang karier saya sebagai jurugambar perkahwinan, sekiranya majlis perkahwinan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad di dalam cuti persekolahan.
Pertimbangkanlah tarikh yang terbaik untuk anda dengan mengambil kira faktor-faktor lain juga.
Written By : Hasnuddin Abu Samah.(Adan Impresif)
| |
|